GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Seorang wanita kerugian RM18,600 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Pos Malaysia dan polis dari Ibu Pejabat Polis Seremban.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa seorang wanita Melayu menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa pegawai Pos Malaysia dengan memberitahu mangsa mempunyai bungkusan.

"Bagaimanapun , mangsa menafikan perkara berkenaan dan talian disambungkan ke IPK Seremban.

"Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis memberitahu mangsa terbabit dengan kes dadah dan pengubahan wang haram serta terdapat waran tangkap untuk menangkap mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa yang takut mengikut arahan diberikan suspek untuk menyelesaikan kes terbabit.

Sehubungan itu, pada 6 Januari mangsa membuat pembayaran sebanyak empat kali berjumlah RM18,600 ke dalam dua akuan berbeza namun saspek masih lagi meminta wang daripada mangsa.

Menurutnya, mangsa yang merasa ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh, kes di siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Melaka memohon orang ramai supaya berhati-hati menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali yang menyamar polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri , Pos Malaysia dan mana-mana pihak.

Pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon dan tidak akan meminta maklumat perbankan.

Selain itu orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhubung dengan pihak bank untuk pertanyaan.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan nombor telefon dan nombor akuan diragui di dalam laman web Http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau muat naik turun aplikasi `check scammers CCID' di Playstore supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:37 PM