Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Rakaman video tular memaparkan seekor buaya didapati menyusuri perairan di laut dekat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini adalah insiden berlaku pada 2013.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, hari ini.

Noorzainy berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun berhubung insiden penemuan buaya di jeti nelayan Pantai Bersih, di sini pada Khamis lalu, namun tiada rakaman buaya terbabit yang dikemukakan bersama laporan dibuat.

"Laporan polis dibuat itu mendakwa melihat seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter berdekatan jeti nelayan sebelum tiba-tiba tular video memaparkan buaya itu menyusuri di perairan laut berdekatan NBCT.

"Bagaimanapun, semakan dibuat didapati rakaman video tular berdurasi 35 saat itu adalah kejadian lama pada 2013.

"Video itu sekali lagi ditularkan pihak tidak bertanggungjawab hingga ia menimbulkan kegusaran ramai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy memohon jasa baik orang awam supaya tidak mensensasikan lagi perkara berkenaan dan panik dengan insiden terbabit dengan menokok tambah cerita.

Beliau berkata, laporan diterima polis akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut.

Katanya, polis bersama agensi lain termasuk Perhilitan akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku serta meminta menghentikan penularan video berkenaan.

Seekor buaya yang menyelusuri perairan laut berdekatan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). FOTO Ihsan Pembaca
Seekor buaya yang menyelusuri perairan laut berdekatan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 6:52 PM