Mat Jusoh (kiri) menyerahkan replika kunci bot laju kepada Raja Bidin pada majlis berkenaan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Mat Jusoh (kiri) menyerahkan replika kunci bot laju kepada Raja Bidin pada majlis berkenaan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan kepada Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) untuk pemodenan bot nelayan laut dalam pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Raja Bidin Raja Hassan berkata, pembinaan bot keluli yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk tandas, tempat tidur dan tandas akan menarik minat golongan muda menyertai industri perikanan laut dalam.

"Sekarang, kita masih bergantung kepada tenaga kerja asing sebagai awak-awak dan tekong untuk industri perikanan laut dalam itu.

"Oleh itu usaha JPM mengantikan bot-bot kayu dengan bot keluli diharap menarik minat golongan muda tempatan terbabit dengan industri itu.

"Pembinaan 20 bot besi itu akan dijalankan dalam tempoh lapan bulan dengan membabitkan kos RM5 juta untuk sebuah bot dan dijangka pada penghujung tahun hadapan bot keluli akan mula digunakan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bot Laju oleh Cerana Tekniq Group Sdn Bhd kepada JPM di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Cerana Tekniq Group Sdn Bhd, Mat Jusoh Hamat.

Raja Bidin berkata, pembinaan bot-bot kayu tidak lagi digalakkan pada tahun hadapan.

"Bot keluli itu terbukti jauh lebih selamat, selesa dan mempunyai ketahanan yang lebih baik daripada bot kayu yang digunakan sekarang.

"Prestasi daripada sudut kelajuan bot keluli juga lebih baik oleh itu wajar sekiranya bot kayu digantikan dengan bot keluli yang lebih memberi jaminan keselamatan kepada nelayan laut dalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 11:28 AM