YEW (dua dari kiri) menunjukkan simbol 'bagus' selepas menanam pokok bakau minyak sebagai simbolik perasmian Program Penanaman Pokok Bakau di Taman Nelayan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
YEW (dua dari kiri) menunjukkan simbol 'bagus' selepas menanam pokok bakau minyak sebagai simbolik perasmian Program Penanaman Pokok Bakau di Taman Nelayan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menanam sebanyak 2,020 pokok bakau minyak di Solok Nelayan 1, Kuala Sungai Pinang, dekat sini, sebagai inisiatif melestarikan alam sekitar.

Anak pokok bakau minyak atau 'rhizophora apiculata' itu di tanam di kawasan hutan paya bakau berkeluasan 166 hektar.

Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang berkata, inisiatif itu bagi mengekalkan kawasan hutan simpan kekal sebagai sumber penting dan penampan pesisir pantai.

Katanya, setiap anak pokok bakau itu dijangka mengambil masa lima tahun untuk mencapai usia matang.

"Sehingga kini, kita sudah menanam sebanyak 34,928 pokok bakau di sekitar pesisir pantai di bawah MBPP sejak November 2018.

"Ia selaras dengan sasaran bagi menanam sebanyak 100 juta pokok bakau di Malaysia menjelang tahun 2023," katanya.

Yew berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Bakau di Taman Nelayan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perhutanan Pulau Pinang, Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim.

Katanya, penanaman anak pokok bakau itu membabitkan seramai 150 kakitangan MBPP dan penduduk sekitar.

"Bagi program tahun hadapan, kita menyasarkan menanam sebanyak 2,021 anak pokok bakau pula," katanya.

Sementara itu, peserta program, Nazri Zainul Abidin, 35, berkata dia pernah terbabit dalam program penanaman bakau di Langkawi, Kedah pada tahun lalu dan mengambil peluang untuk menanam bakau di kampung halamannya pula.

"Saya mahu mengambil peluang bagi menutup 2020 ini dengan sesuatu yang bermakna dan menggembirakan.

"Ini kerana sepanjang tahun ini kita diuji dengan Covid-19, jadi apa salahnya kita tutup tahun 2020 dengan perkara baharu," katanya.

Kawasan hutan bakau berkenaan adalah antara pesisir pantai di negeri ini yang terkesan akibat dibadai tsunami pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 4:29 PM