GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Dua staf operasi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Rapid Rail dalam kenyataannya berkata, kedua-dua staf berkenaan bertugas sebagai pegawai stesen buat kali terakhir pada 12 Disember (Sabtu) dan 13 Disember (Ahad) lalu.

Bagaimanapun, katanya, penularan itu berlaku di kawasan tertutup dan berdasarkan siasatan, kedua-dua staf berkenaan tiada kontak dengan penumpang.

"Semua kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua staf berkenaan juga diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri selama 14 hari.

"Rapid Rail memberi jaminan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan rangkaian rel lain adalah selamat," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengurusan Rapid Rail dan operator LRT laluan Kelana Jaya juga sudah melaksanakan disinfektasi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan malam tadi berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tren pula ditetapkan menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari ketika waktu puncak dan selepas operasi pada hari berkenaan," katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan pihak pengurusan dan staf Prasarana Malaysia Berhad, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas sudah dilatih menerapkan piawaian serta protokol tinggi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan ditetapkan KKM.

"Rapid Rail turut mengulangi peringatan agar pengguna sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

"Langkah ini adalah penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di samping memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:07 PM