Foto hiasan
Foto hiasan
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan seorang pegawai Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertugas di Stesen Bandaraya di sini, disahkan positif Covid-19 dua hari lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Prasarana menjelaskan staf terbabit yang kali terakhir bertugas pada 19 Disember lalu sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor ketika ini.

"Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tiada mempunyai kontak dengan penumpang ketika bertugas," menurut Prasarana.

Sehubungan itu, pengurusan Rapid Rail selaku operator perkhidmatan rangkaian LRT menjalankan kerja nyah cemar dan pembersihan di tempat kerja staf terbabit pada malam berkenaan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebagai langkah waspada, staf lain yang mempunyai kontak dengan pegawai stesen berkenaan turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama selama 14 hari, mengikut prosedur operasi standard KKM.

Rapid Rail memberi jaminan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat seiring pematuhan SOP yang dikehendaki.

"Rapid Rail akan terus memantau dengan rapi perkembangan kes ini dan sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa khususnya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak awal penularan pandemik ini pada awal tahun bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan Rapid Rail dan juga Rapid Bus sentiasa berkeadaan selamat serta selesa digunakan.

"Tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak serta selepas operasi pada hari berkenaan.

"Kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren sentiasa mematuhi SOP dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan penumpang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 10:19 AM