Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Jenazah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Ungku Abdul Aziz tiba di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail di sini, 8.50 malam untuk disembahyangkan selepas solat Isyak.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menziarahi Allahyarham dan memberikan kata semangat kepada keluarga.

Turut berada di masjid, isteri Allahyarham Rohayah Ahmad Bahiran serta anak perempuannya yang juga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan ahli keluarga.

Suasana masjid mula dipenuhi kenalan dan orang ramai sejak 7 malam tadi.

Ungku Abdul Aziz, 98, meninggal dunia di Hospital Prince Court, di sini, 4 petang hari ini.

Allahyarham dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 adalah negarawan dan tokoh paling disegani di negara ini.

Sebagai tokoh pendidikan dan ekonomi, Allahyarham Ungku Abdul Aziz mencetuskan pelbagai idea praktikal demi memajukan ekonomi, khususnya pendidikan dan ekonomi orang Melayu dan ekonomi umat Islam.

Antaranya ialah penubuhan koperasi kebangsaan, Tabung Haji, Akademi Islam dan Pusat Asasi Sains.

Berita berkaitan

Prof Ungku Aziz sudah tiada

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 9:47 PM