GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) warga Nepal berusia 29 tahun sudah diberi rawatan terbaik ketika dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat dijangkiti Covid-19 sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengawal keselamatan itu mendapat jangkitan dan bergejala namun ketika dimasukkan ke hospital, mangsa sudah di peringkat lewat.

"Ketika berada di ICU, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberi rawatan sebaik mungkin.

"Dia mengalami komplikasi pada paru-paru akibat Covid-19," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) hari ini mengesahkan kematian seorang pekerjanya disebabkan Covid-19.

Ia adalah kematian pertama pekerja kilang pengeluar sarung tangan itu sejak pandemik menular membabitkan 28 kilang milik pengeluar sarung tangan terbesar dunia di daerah Klang.

"Kami ingin memaklumkan bahawa seorang pekerja kami meninggal dunia pada Sabtu lalu di Sungai Buloh Hospital.

"Yamnarayan Chaudhary Tharu berusia 29 tahun dari Nepal, meninggal dunia akibat Covid-19 dengan fibrosis pada paru-paru," katanya dalam satu kenyataan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 9:03 PM