GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

TOP Glove Corporation Bhd (Top Glove) berkata pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) telah mengeluarkan arahan sekatan semalam terhadap sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

Ia akan meminta penjelasan daripada CBPAS dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera, katanya.

"Mungkin ia berkaitan isu pekerja asing, kami telah menyelesaikannya, selain daripada isu melibatkan yuran pengambilan pekerja yang dibayar oleh pekerja kami kepada ejen sebelum Januari 2019, kami tidak mengetahui perkara tersebut.

"Bagaimanapun, Top Glove telah menanggung semua bayaran pengambilan pekerja sejak Januari, 2019 ketika Dasar Yuran Pengambilan Pekerja kami dilaksanakan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Top Glove berkata ia adalah bagi kepentingan terbaik semua pihak untuk mencari penyelesaian dengan segera supaya penghantaran dapat dilakukan kepada pihak yang sangat memerlukan sarung tangan tersebut kerana penularan COVID-19 ketika ini.

"Kami telah menyelasikan isu itu sejak beberapa bulan lepas, ia melibatkan penyiasatan secara menyeluruh dalam menentukan jumlah tepat untuk dibayar kepada pekerja kami. Kami menganggarkan jumlahnya sekitar RM20 juta hingga RM50 juta," katanya.

Sementara itu, dagangan saham TOPGLOV digantung pukul 2.30 petang hari ini dan sepatutnya disambung semula pada 3.30 petang. Bagaimanapun, Bursa Malaysia Securities berkata aktiviti dagangan saham di pasaran saham tempatan digantung urus niaga akibat masalah teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:21 PM