Zainuddin (Tengah) menunjukkan 12,000 biji pil kuda yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Zainuddin (Tengah) menunjukkan 12,000 biji pil kuda yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Polis merampas 12,000 pil kuda bernilai RM120,000 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff berkata, dalam serbuan pertama pada 3.15 petang, pihaknya menahan lelaki berusia 47 tahun selepas didapati memiliki 8,000 pil kuda bernilai RM80,000 di Kampung Bukit Gading, di sini.

Beliau berkata, penahanan itu susulan maklumat diterima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah sebelum membuat intipan dan serbuan.

Katanya, ketika serbuan, anggota bertugas membuat pemantauan selama 10 minit sebelum mendekati sebuah kereta Perodua Alza dipandu di tepi jalan kampung terbabit.

"Anggota kemudian menghampiri pemandu berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum suspek bertindak melempar sebuah bungkusan sebelum cuba melarikan diri.

"Berlaku sedikit pergelutan, namun suspek berjaya ditahan. Hasil pemeriksaan, bungkusan yang dibaling suspek mengandungi 8,000 pil dipercayai pil kuda.

"Suspek ditahan manakala barangan rampasan serta kereta miliknya dibawa ke IPD Tanah Merah untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, dalam serbuan berasingan pada 6.45 petang hari sama, pihaknya menangkap seorang lelaki berusia 21 tahun di Jalan Wan Ahmad, di sini, selepas didapati memiliki 4,000 pil kuda bernilai RM40,000.

"Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap anggota bertugas sebelum menemui bungkusan di dalam poket seluar yang dipakai suspek.

"Siasatan awal mendapati bungkusan terbabit berisi pil kemerahan dipercayai dadah dan suspek turut dibawa ke IPD Tanah Merah untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ini didapati positif dadah methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan dan hasil semakan mereka berdua tiada rekod lampau.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 11:20 AM