PULAU Batu Rumput yang juga dikenali sebagai Pulau Layar antara produk pelancongan yang baharu ditemui. FOTO Bernama
PULAU Batu Rumput yang juga dikenali sebagai Pulau Layar antara produk pelancongan yang baharu ditemui. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Taman Paya Bakau Kina Benuwa, taman tertua diwartakan di Labuan akan diubah suai secara besar-besaran dengan peruntukan awal RM1.5 juta yang juga sebahagian daripada rancangan pembangunan pelancongan di pulau itu.

Rancangan pelaksanaan projek itu dikemukakan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk kelulusan, dan ia dijangka dilaksanakan awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Dr Fary Akmal Osman berkata, perbadanan itu berhasrat untuk menjadikan hutan paya bakau itu sebagai kawasan pelancongan semula jadi, namun ia perlu dinaik taraf bagi menjadikannya lestari dari segi ekologi dan mesra pelancong.

"Ia mesti dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan seperti laluan kayu yang merentasi kawasan hutan, jeti untuk memancing, gazebo untuk pelancong berehat dan aktiviti meneroka paya bakau dengan menaiki bot," katanya kepada Bernama semasa Lawatan Kajian Potensi Pelancongan hari ini.

Taman Paya Bakau Kina Benuwa telah diisytiharkan sebagai kawasan habitat buaya selepas pemancing dan orang ramai ternampak reptilia itu di tebing sungai.

Fary berkata, kawasan paya bakau itu akan menjadi produk ekopelancongan Labuan dengan pembabitan masyarakat setempat.

"Kami diberitahu oleh masyarakat setempat bahawa paya bakau itu juga menjadi penempatan bagi kunang-kunang dan keadaan itu akan menambah nilai kawasan berkenaan.

"Untuk menghayati keindahan lanskap paya bakau yang jarang disentuh itu, kami merancang untuk mengadakan aktiviti menarik bagi pengunjung, seperti menaiki perahu dan meneroka sekitar kawasan landskap yang indah.

"Paya bakau juga adalah tempat burung migrasi berehat dalam perjalanan mereka, menjadikannya salah satu tempat terbaik untuk aktiviti memerhati burung. Sekiranya pengunjung bernasib baik, mereka akan dapat melihat buaya sedang berjemur di muara sungai," katanya.

Fary berkata, produk pelancongan lain yang baharu di pulau itu termasuk Pulau Batu Rumput yang baharu ditemui, juga dikenali sebagai Pulau Layar, berhampiran kawasan laut terbuka Kampung Bebuloh Laut.

"Penemuan pulau ini sungguh menakjubkan ... ketika air laut di pulau surut, kita akan dapat menyaksikan lebih dari 100 meter pantai terbentang di sekitar pulau itu. Keadaan itu berlaku selama satu hingga dua jam dan pastinya ia menjadi satu tarikan pelancongan 'jarang ditemui' yang terbaharu di Labuan," katanya.

Beliau berkata, rancangan pembangunan pelancongan yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada usaha agensi itu untuk menghidupkan kembali industri pelancongan di Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:11 PM