GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan selepas mencampakkan RM170 ke dalam kereta peronda polis (MPV) apabila gagal memberi rasuah ketika pemeriksaan di Kilometer 14, Jalan Kuala Lumpur-Rawang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku ketika anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terbabit membuat rondaan di lokasi pada jam 7.35 pagi.

Katanya, anggota berkenaan terserempak sebuah motosikal Yamaha Lagenda dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika menghampiri motosikal berkenaan, penunggang memecut menuju ke arah Rawang, namun berjaya dipintas kira-kira satu kilometer kemudian.

"Pemeriksaan ke atas lelaki berusia 39 dan 50 tahun itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

"Ketika pemeriksaan lanjut dilakukan, kedua-dua suspek tiba-tiba mengeluarkan sejumlah wang untuk cuba merasuah anggota polis bertugas namun diberi amaran supaya menyimpan semula wang berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Arifai berkata, namun suspek berdegil dan bertindak mencampakkan wang itu ke dalam MPV supaya tidak diambil tindakan.

Beliau berkata, anggota polis bertugas kemudian menahan kedua-dua suspek terbabit selepas mereka cuba memberi rasuah selain tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

"Kami turut merampas wang tunai RM170 yang digunakan kedua-dua suspek berkenaan untuk cuba merasuah anggota bertugas.

"Dua suspek itu direman selama 14 hari bermula semalam hingga 25 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1957/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 1:59 PM