DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,123 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 71,359 kes di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula ialah 10,775 kes dan pertambahan empat kematian akibat virus itu dilaporkan hari ini.

"Pertambahan empat kes kematian menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 380 kes atau 0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Ringkasan kes kematian ke-377 ialah kes indeks 41,277 lelaki tempatan berusia 75 tahun dari Sabah yang mempunyai penyakit darah tinggi dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

"Kes ke-378 iaitu kes indeks 68,003, lelaki tempatan berusia 61 tahun, berpenyakit asma yang meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes kematian ke-379 ialah kes indeks 68,326, lelaki tempatan berusia 64 tahun, berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan strok yang jenazahnya dibawa ke Hospital Tawau, Sabah.

Bagi kes kematian ke-380, katanya, ia adalah kes indeks 61,367, lelaki bukan warga negara berusia 46 tahun, mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, meninggal dunia di Hospital Shah Alam, Selangor.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,143 kes.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 60,204 kes atau 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Memperincikan 1,123 kes baharu hari ini, katanya, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,118 kes.

Menurutnya, negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 490 kes (43.6 peratus).

"Sabah melaporkan jumlah kes harian kedua tertinggi iaitu 391 kes (34.8 peratus) dan diikuti Kuala Lumpur sebanyak 265 kes (23.6 peratus).

"Sebanyak 40 kes (3.6 peratus) yang dilaporkan pula ialah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (27 kes) dan Kluster Tembok (13 kes).

"Sehingga kini, terdapat 130 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:54 PM