GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dikesan dijangkiti Covid-19 hasil saringan pra-kemasukan wad mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah dikenali sebagai Kluster Lungkidau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikenal pasti di daerah Ranau itu adalah jenis komuniti.

Menurutnya, bapa kes indeks juga turut didapati positif Covid-19 hasil saringan pengiring kemasukan wad pada hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati bapa kepada kes indeks mempunyai rekod menghadiri mesyuarat dan gotong-royong membersihkan lot tanah penanaman sawit di Mukim Paginatan.

"Siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa aktiviti yang membabitkan perkumpulan orang, selain mesyuarat dan aktiviti gotong-royong.

"Saringan kontak rapat dijalankan mulai 7 hingga 20 September lalu membabitkan 177 orang dan 134 daripadanya dikesan positif termasuk tujuh kes baharu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,291 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 188,123 kes.

"Sebanyak 14 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Tawau manakala Kunak, Kota Marudu, Penampang, Keningau, Kudat, Tuaran dan Nabawan masing-masing mencatatkan satu kes.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,837 menjadikan jumlah kumulatif 164,380 orang.

"Manakala 3,888 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,311 orang di hospital, 2,499 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 70 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala lapan orang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 10:29 PM