MOHAMAD Yusrizal Yusoff (tengah) melihat writ saman bersama Mohammad Zunun Baihakky (kanan) di Mahkamah Tinggi Alor Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MOHAMAD Yusrizal Yusoff (tengah) melihat writ saman bersama Mohammad Zunun Baihakky (kanan) di Mahkamah Tinggi Alor Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini menetapkan 21 Disember depan untuk pemilik restoran nasi kandar di Napoh yang mencetuskan Kluster Sivagangga memfailkan pembelaan terhadap saman yang difailkan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Peguam yang mewakili CAKE, Mohammad Zunun Baihakky, berkata pihaknya menerima surat daripada peguam yang mewakili Nezar Mohamed Shahbur Batcha, 57, pada 26 Oktober lalu bagi memohon tarikh memfailkan pembelaan.

Menurutnya, Nezar difahamkan sudah dibebaskan dari penjara pada Selasa lalu.

"Saya menerima surat daripada peguam Nezar untuk memohon tarikh memfailkan pembelaan terhadapnya, jadi mahkamah hari ini menetapkan 21 Disember depan untuk dia berbuat demikian.

"Sekiranya pada tarikh itu tiada sebarang pembelaan difailkan, kami akan memohon daripada mahkamah untuk memfailkan penghakiman ingkar terhadap Nezar," katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes saman terbabit di Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff.

Mohammad Zunun, berkata jika mahkamah membenarkan penghakiman ingkar, ia bermakna kes itu tidak perlu dibicarakan dan pihaknya akan mendapatkan perintah untuk menuntut saman RM1.5 juta serta perintah-perintah lain.

Nezar, sebelum ini dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.

Pada 19 Ogos lalu, Persatuan Pengguna Kedah yang mewakili kira-kira 200 penduduk yang terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap Nezar.

Mereka menuntut ganti rugi selepas tindakan Nezar melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari India itu menyebabkan mereka hilang pendapatan selepas kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pihak lain yang menuntut termasuk Jawatankuasa Peniaga RTC Pekan Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh, serta dua persatuan penduduk di Napoh.

Akibat pelanggaran SOP itu, empat mukim di Kubang Pasu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selain restoran berkenaan diarah ditutup.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 1:39 PM