Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis mengesahkan peluru yang mencederakan seorang anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam petang tadi, dilepaskan dari senapang angin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota berusia 26 tahun terbabit mengalami kecederaan pada perut dan sudah mendapat rawatan.

"Senjata yang digunakan dikenal pasti sebagai senapang angin dan anggota terbabit sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 8 malam tadi.

"Siasatan lanjut kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mengulas mengenai kemungkinan kejadian terbabit mempunyai kaitan dengan kes serangan ke atas anggota PGA di Padang Besar semalam, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.

"Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan sama ada kes ini ada kaitan dengan kes tembakan di Padang Besar, Perlis atau tidak," katanya.

Dalam kejadian pada jam 6.15 petang tadi, seorang anggota PGA dilaporkan cedera ringan selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam kejadian itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum secara tiba-tiba terkena tembakan.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden membabitkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.

Berita berkaitan

Seorang lagi anggota PGA terkena tembakan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:02 PM