SEBAHAGIAN atap rumah penduduk di Kampung Kayu Ara Mambau rosak akibat ribut. FOTO Ihsan pembaca
SEBAHAGIAN atap rumah penduduk di Kampung Kayu Ara Mambau rosak akibat ribut. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Amin Jalil

Seremban: "Saya dapat lihat angin 'berpusing-pusing' dan kemudian atap beberapa rumah tercabut serta diterbangkan angin," kata Imam Masjid Kampung Kayu Ara Mambau, Rashid Ahmad, 61.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, sekurang-kurangnya 20 rumah di Kampung Kayu Ara dan Batu 3 Mambau, di sini, mengalami kerosakan pada bahagian atap selepas dilanda ribut, petang semalam.

Rashid berkata, ribut itu berlaku begitu pantas dan dalam hanya beberapa minit sahaja, ia sudah menerbangkan sebahagian atap rumah penduduk.

"Saya baharu saja selesai menunaikan solat Asar di masjid yang terletak tidak jauh dari rumah.

"Sebahagian atap rumah saya rosak selepas diterbangkan angin.

"Bagaimanapun, saya dan bersama tujuh ahli keluarga bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa" katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan 11, Md Munawir Md Yusoff berkata, kejadian menyebabkan 15 rumah di Kampung Kayu Ara dan lima rumah di Kampung Batu 3, Mambau mengalami kerosakan.

Beliau berkata, seramai 16 anggota dan dua jentera dari BBP Seremban 2 bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada penduduk.

"Kami membantu penduduk yang terkesan termasuk menebang beberapa pokok tumbang di Kampung Batu 3 kerana mengganggu lalu lintas, namun dalam kejadian itu tiada membabitkan kecederaan pada penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 9:01 AM