FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nazarali Saeril


Petaling Jaya: Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diseru merebut peluang untuk menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan melalui inisiatif 'Wilayah Bebas Berniaga'.

Untuk rekod, idea inisiatif Wilayah Bebas Niaga dicetuskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Wilayah Bebas Berniaga ini secara rasminya bermula esok.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid menyifatkan inisiatif ini sebagai memberi sinar harapan baru tatkala masyarakat terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Inisiatif ini umpama lonjakan paradigma dalam konsep pemantapan ekonomi negara," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Redza, ia sekali gus membuka peluang yang sewajarnya diambil warga Wilayah dalam merealisasikan impian untuk menambah baik ekonomi keluarga.

"Buka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan dan manfaatkan kebenaran yang diberikan ini sebaik mungkin," katanya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga wajar diperluas ke seluruh negara.

"Pelaksanaan seumpama ini seharusnya dilaksanakan di semua negeri, selagi ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kebersihan," katanya.

Pada masa sama, Mohd Redza berkata, YaPEIM menerusi Ar Rahnu YaPEIM juga memberikan sokongan dalam bentuk pembiayaan berasaskan emas.

Malah, katanya, YaPEIM juga sentiasa membuka pintu bagi membantu mereka yang terkesan.

"Ia terutamanya buat yang kehilangan pendapatan. Kami menawarkan platform jualan secara atas talian menerusi CMASA.my.

"Ia sekali gus menjadi pilihan tambahan selain pembukaan gerai atau perniagaan kecil-kecilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 5:24 PM