GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Tindakan peniaga kedai runcit meliwat beberapa kali seorang kanak-kanak lelaki di tandas kedainya sejak Mac lalu berakhir apabila dia ditahan polis, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, perbuatan lelaki berusia 34 tahun itu terbongkar selepas mangsa berumur 12 tahun menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang, Isnin lalu.

Menurutnya, ibu mangsa memberitahu suspek yang dikenali berniaga di kedai runcit di Batu Caves meliwat anak ketika berada di dalam tandas kedai.

"Kejadian itu dikatakan berlaku beberapa kali sejak Mac lalu dan kali terakhir berlaku pada 29 Oktober lalu.

"Susulan laporan diterima polis kemudian menahan suspek dan direman seminggu sehingga 16 November ini bagi membantu siasatan," katanya.

Arifai berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 3:24 PM