Suri rumah Siti Norhuda Salwa Mohd Mokhtar bersama anaknya Mukriz Mahzir menonton program Eksklusif bersama Perdana Menteri melalui televisyen di rumahnya. FOTO Mahzir Mat Isa
Suri rumah Siti Norhuda Salwa Mohd Mokhtar bersama anaknya Mukriz Mahzir menonton program Eksklusif bersama Perdana Menteri melalui televisyen di rumahnya. FOTO Mahzir Mat Isa
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pengumuman Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Parlimen bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain memulihkan kembali ekonomi negara.

Menurutnya, beliau berharap Belanjawan yang menyentuh semua peringkat masyarakat di negara ini seperti diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam dapat dilaksanakan dan disampaikan kepada golongan sasaran.

"Pertamanya, saya mengucapkan syukur dalam keadaan sukar pihak menteri kewangan dan pasukannya yang saya tahu bekerja siang malam mendapatkan (merangka) satu bentuk Belanjawan komprehensif yang menyentuh semua peringkat masyarakat di negara ini.

"Penting dilihat semua pihak adalah penyampaian, bagaimana ia dilaksanakan, secepat mana boleh disampaikan daripada pihak berhak untuk menerima, sebab itu pemantauan dibuat. Macam dulu pakej ransangan kita ada Laksana yang juga institusi dibentuk Kementerian Kewangan untuk meneliti setiap bantuan tadi sampai kepada individu berkenaan. Saya sendiri buat semakan (ketika) turun ke bawah dan semak sama ada mereka menerima, itu bermakna usaha kita sampai kepada kumpulan sasar," katanya dalam temubual khas secara langsung di Astro Awani, sebentara tadi.

Menurutnya, dia berharap Belanjawan itu akan diluluskan di Parlimen bagi memastikan usaha membantu rakyat yang terjejas dapat dilaksanakan.

"Ia (belanjawan) akan dibahaskan di Parlimen mulai Isnin ini oleh ketua pembangkang dan kemudian oleh semua ahli parlimen. Dalam keadaan Covid-19 pun kita benarkan perbahasan berjalan dalam masa agak panjang juga, akhirnya diharap semua ahli parlimen sama ada pembangkang atau kerajaan menyokong supaya ia dapat diluluskan.

"Jika tidak diluluskan aniaya lah rakyat. Saya tidak boleh menjawab, serah kepada mereka dan selepas itu kita akan usahakan. Ini adalah satu langkah. Saya tidak fikir ini adalah penyelesaian kepada semua masalah yang kita hadapi tapi ini adalah usaha untuk menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi berkaitan Covid dan pemulihan ekonomi, kebijaksanaan itu memerlukan satu pertimbangan agak bagus untuk menentukan sampai ke tahap ini.

"Harapan saya adalah apa yang kita sebutkan dalam Belanjawan ini akan memberikan faedah, meringkan beban, menolong keluarga, membantu yang tidak bekerja dan saya fikir ia mencakupi hampir semua bidang," katanya.

Dalam temubual berkenaan, Muhyiddin turut menyentuh beberapa kritikan dibangkitkan pelbagai pihak namun mengakui Belanjawan itu sudah menerima pandangan semua pihak terdiri daripada pakar, ahli parlimen kerajaan, pembangkang termasuklah rakyat.

"Belanjawan ini dibuat secara inklusif menerima cadangan. Mana cadangan yang baik kita terima," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut membayangkan akan menjemput pihak pembangkang untuk menyertai Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 9:56 PM