LELAKI yang menyamar sebagai wanita sebelum mencuri wang tabung.
LELAKI yang menyamar sebagai wanita sebelum mencuri wang tabung.
Balqis Jazimah Zahari


Batu Gajah: Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai wanita dengan mengenakan jubah sebelum mencuri wang tabung di Surau Al-Solehiah Kampung Tersusun Taman Tasek Permai, di sini, Jumaat lalu gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Suspek berusia 29 tahun itu berjaya ditahan selepas 'aksinya' dirakam kamera litar tertutup CCTV surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Jalan Restu Kampung Serdang Permai, Kampung Kepayang di sini, pada 8.20 malam Sabtu lalu.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau yang menyedari kejadian itu.

"Berdasarkan keterangan pengadu, pada 2 petang Jumaat lalu seorang jemaah memberitahu kepada jemaah lain yang beliau menyedari ada beberapa kepingan 'masking tape' diletakkan di atas meja dalam surau terbabit disyaki digunakan untuk mencuri duit tabung.

"Pada 8 malam pengadu bersama yang lain memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Mereka dapati rakaman menunjukkan seorang wanita berjubah hitam dan memakai pelitup muka sedang menjolok lubang tabung menggunakan objek panjang sebelum melaporkannya kepada polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, rakaman CCTV juga merekodkan suspek berjaya mengambil beberapa kepingan wang kertas dan memasukkan ke dalam beg sandang yang digalasnya.

"Kenderaan suspek juga dirakam CCTV luar surau berkenaan," katanya.

Katanya, susulan itu, pihaknya melakukan serbuan sebelum merampas kereta Perodua Viva, jubah wanita dan beberapa barangan lain ketika penahanan suspek.

"Semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan juga di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kes pada bulan Ogos lalu kerana mencuri wang dalam tabung masjid di Jelapang Ipoh," katanya.

Tambahnya, jumlah kerugian dianggarkan RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 10:53 PM