GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kajang: Padah merosakkan kereta dan mencederakan seorang lelaki dalam pergaduhan yang tular di media sosial, seorang penghantar makanan didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Syahrul Sazly Md Sain menjatuhkan hukuman itu terhadap Leong Yew Tong, 42, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah mengenakan denda masing-masing RM1,000 atau sebulan penjara dan RM800 atau penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Leong yang masih bujang didakwa dengan sengaja memecahkan lampu kereta menggunakan topi keledar menyebabkan mangsa See Kam Foo, 41, mengalami kerugian di Jalan SP6/2, Taman Segar Perdana, Cheras sekitar 10.30 pagi, 17 Oktober lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap See dengan menumbuk muka dengan tangan di tempat dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Hairul Iqram memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum ke atasnya atas alasan dia perlu menjaga ibunya.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi dua minit lima saat berhubung pergaduhan kedua-duanya hingga mengundang pelbagai kecaman netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 5:36 PM