GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tindakan seorang lelaki memandu dalam keadaan mabuk menyebabkan kereta dipandunya melanggar dua kenderaan lain di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 6 Kota Damansara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 1.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) ke lokasi.

"Berdasarkan maklumat, seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol melanggar sebuah kereta Proton Bezza dan Nissan Grand Livina milik penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota polis bertugas menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk hingga melanggar dua kenderaan terbabit.

"Ujian kandungan alkohol dilakukan terhadap pemandu terbabit mendapati dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, polis menahan tiga lelaki tempatan masing-masing berusia antara 22 hingga 24 tahun termasuk dalang kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Sungai Way, di sini, pada 20 September lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah rumah di Seksyen U5, Shah Alam pada 7 malam, hari ini.

"Pada 20 September lalu, kami menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang disamun ketika berada di kedai serbaneka berkenaan jam 7 pagi.

"Dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penjenayah melarikan sejumlah rokok pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek utama berusia 26 tahun itu mempunyai tiga rekod bersabit kes dadah.

Menurutnya, semua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai ceti haram atau along di sebuah rumah di Kampung Baru, Puchong, semalam.

Kedua-duanya yang berusia 33 dan 36 tahun dipercayai bertindak agresif dan mengugut bunuh ahli keluarga peminjam.

"Kami menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun yang memaklumkan dua along ke rumahnya di Desa Mentari bagi mengutip hutang anak mangsa berusia 26 tahun pada 4.10 petang, kelmarin.

"Dalam kejadian itu, seorang daripada suspek bertindak agresif dengan mengugut akan membunuh ahli keluarga mangsa jika tidak menyelesaikan hutang anaknya dipercayai berjumlah RM2,000 pada keesokan harinya.

"Suspek juga mengambil telefon bimbit, kad pengenalan, kad ATM, lesen memandu serta wang mangsa berjumlah RM60," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 9:01 PM