Gambar individu yang dicari untuk membantu siasatan kes tembak di Serdang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Gambar individu yang dicari untuk membantu siasatan kes tembak di Serdang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis memburu dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes lelaki cedera ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Bandar Kinrara di sini, 21 September lalu.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Loo Lai Ming (Datuk Michael) berusia 40 tahun beralamat Desa Gembira Kondominium, Kuala Lumpur dan Choong Aik Boon (Manco@Roy), 48, di alamat sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, dua lelaki itu dicari bagi membantu siasatan, manakala 10 individu membabitkan sembilan lelaki serta seorang wanita warga asing sudah ditahan dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua suspek terbabit boleh tampil membantu polis," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lelaki cedera ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Bandar Kinrara di sini.

Polis menerima maklumat mengenai kejadian 12.45 tengah hari yang mana lelaki berusia 35 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas terkena tembakan.

Siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di rusuk kiri dipercayai akibat ditembak menggunakan pistol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:14 PM