Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia mempertimbangkan cadangan pemakaian tanjak untuk gambar dalam kad pengenalan, MyKad.

Bagaimanapun Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tidak berhasrat membenarkan tanjak dipakai ketika ini seperti mana songkok dan kopiah.

Katanya, JPN sebaliknya mahu meneliti cadangan itu terlebih dahulu dan melihat kewajarannya sama ada bersesuaian atau tidak.

"Kita perlu tengok dulu dari segi arahan-arahan semasa yang dikeluarkan, sama ada boleh atau tidak untuk dilaksanakan (pemakaian tanjak), bagi masa untuk kita lihat.

"Ia berbeza dengan pemakaian songkok dan kopiah yang sudah lama kita laksanakan, kerana terdapat kes di mana pelanggan kita datang sendiri ke pejabat dengan bersongkok, ia adalah amalan lama yang kita laksanakan.

"Tetapi tanjak masih belum ada kajian atau perkara yang membuatkan kita mahu melaksanakannya. Kita akan tengok dulu macam mana," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Kemudahan ePayment dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Ibu Pejabat JPN Terengganu di sini, hari ini.

Gambar fail, Datuk Ruslin Jusoh. FOTO NSTP.
Gambar fail, Datuk Ruslin Jusoh. FOTO NSTP.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.

Sebelum ini, Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam MyKad.

Presidennya, Shahrul Fadzly Mohd Zainal dilapor berkata, tanjak adalah sebahagian daripada pakaian tradisional yang sama taraf dengan songkok dan kopiah yang dibenarkan ketika ini.

Berita berkaitan

Cadang pakai tanjak dalam MyKad [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 2:06 PM