Datuk Rosol (tengah) merasmikan PJM dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Datuk Rosol (tengah) merasmikan PJM dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Pelitup muka tiruan dijual serendah harga RM0.50 sekeping di tepi jalan dan pasar malam.

Itu taktik digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi meraih keuntungan 'segera' dalam suasana negara dilanda Covid-19.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menghidu taktik itu selepas mengesan tiga kes penjualan pelitup muka tiruan di sekitar Lembah Klang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau bimbang dengan jenis bahan pelitup muka yang digunakan yang amat meragukan selain dibimbangi menjejaskan kesihatan pengguna.

"(Pemakaian) pelitup muka ia berkait dengan pernafasan. Jika kita menggunakan pelitup muka tiruan, tentunya ia membahayakan (kesihatan), walaupun kita cuba mengelak terkena Covid-19, tetapi (kita bimbang) terkena penyakit lain," katanya pada sidang media.

Rosol ditemui pada Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Khind - Mistral Industries Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata, pihaknya sedang merancang untuk menguatkuasakan peraturan baharu bagi menangani isu penjualan pelitup muka tiruan.

"Maknanya kita mungkin akan buat satu peraturan cuma barangan (pelitup muka) bermutu sahaja yang dijual di pasaran.

"Kita sudah ambil tindakan yang betul iaitu (hanya) pelitup muka tiga lapisan yang diiktiraf sahaja dijual di pasaran.

"Selain itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti (bahan) yang digunakan dalam pembuatan pelitup muka terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 2:36 PM