R.Vidyananthan menunjukkan mendapan yang berlaku. FOTO Adnan Ibrahim
R.Vidyananthan menunjukkan mendapan yang berlaku. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kluang digesa mengatasi segera masalah runtuhan cerun di Kilometer 77.8 Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Lambak, dekat sini.

Runtuhan yang berlaku penghujung tahun lalu itu dibimbangi merebak ke jalan lain berikutan sejak akhir-akhir ini hujan lebat berlaku hampir setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, tinjauan yang dilakukan ada sedikit mendapan berlaku ke atas jalan berkenaan dan ia dikhuatiri berpunca daripada runtuhan cerun itu.

Katanya, jika ini berlaku tidak mustahil jalan itu boleh putus sekiranya tidak dilakukan tindakan segera untuk mengatasi runtuhan berkenaan terus merebak ke bawah laluan berkenaan.

"Apa yang paling ditakuti adalah sekiranya jalan itu putus secara tiba-tiba pada sebelah malam kerana ia mungkin membabitkan kenderaan pengguna seterusnya boleh menyebabkan perkara lebih serius seperti kehilangan nyawa.

"Ini kerana mendapan berlaku kira-kira satu inci (2.54 sentimeter) dan boleh dilihat dari jauh malahan kita sendiri boleh merasainya apabila melalui jalan itu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Jurutera Daerah Kluang, Ir Aidi Md Salleh, ketika diminta mengulas berkata, runtuhan itu sudah ada dalam pemerhatian pihaknya dan mengakui kejadian ini sudah agak lama berlaku.

Katanya, buat masa ini pihaknya terpaksa menutup kawasan runtuhan cerun berkenaan bagi mengelakkan ia akan merebak ke kawasan lain yang berhampiran.

"Semua perkara berkaitan kerja pembaikan runtuhan cerun ini sudah dimajukan kepada pihak berkaitan dan pembaikan akan dilakukan sebaik sahaja peruntukkan diperoleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 5:57 PM