Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Keputusan penutupan sekolah di Kedah hanya akan dilaksanakan selepas mendapat nasihat dan pengesahan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan orang ramai apabila meminta sekolah di negeri berkenaan ditutup susulan kes Covid-19 yang meningkat.

Menurutnya, pengesahan berkenaan penting bagi mengelak kekeliruan maklumat berhubung kes Covid-19 khususnya di sekolah.

"Dari segi keselamatan dan kesihatan itu sentiasa menjadi tumpuan untuk Kementerian Pendidikan, namun untuk kes itu (Covid-19 dan penutupan sekolah) keputusan akan dibuat MKN dan KKM.

"KKM sangat prihatin dengan perkara ini dan akan membuat mana yang terbaik dan secepat mungkin mereka akan mengeluarkan nasihat atau apa-apa (sekiranya ada penutupan sekolah)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan bangunan Reverend William Edward Horley dan Ms Grace Towers di Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist Ipoh, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dan KKM.

Sehingga semalam, sebanyak 66 kes positif Covid-19 dengan 14 kes terbaharu membabitkan Kluster Sungai dan Telaga di Kedah.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 3:31 PM