GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 22 tahun terhadap seorang lelaki kerana cuai menyebabkan kematian kekasih remaja yang mayatnya disumbat dalam beg pakaian, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim memuktamadkan sabitan dan hukuman terhadap Poon Wai Hong, 30, selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Nazran Mohd Sham memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Mohd Yusof kemudian membatalkan rayuan itu.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 September 2019 yang mengetepikan sabitan bunuh dan menggantikan kepada homisid salah tak terjumlah membunuh.

Pada 3 April 2018, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap Poon kerana didapati bersalah membunuh Ng Yuk Tim, 15, seorang penggemar cosplay (pakaian kostum dan aksesori), dengan mayat mangsa disumbat dalam beg pakaian dan dicampak di tepi jalan di Klang.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati sabitan bunuh terhadap Poon tidak selamat dan mengurangkan tuduhan kepada homisid salah tak terjumlah bunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun dari tarikh tangkapan iaitu 22 Oktober 2013.

Poon didakwa melakukan kesalahan itu sebuah rumah di Kampung Cempaka, Kelana Jaya, Selangor, antara 3 petang dan 4 petang 21 Oktober 2013.

Pada prosiding hari ini, Poon diwakili peguam S Yogasheelan manakala Chen Yen Hui bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.

Di luar mahkamah, Chen memberitahu media bahawa pihak pendakwaan tidak memberi alasan untuk menarik balik rayuan agar dikenakan hukuman lebih berat.

Menurutnya, beliau akan menulis kepada TPR bagi mendapatkan penjelasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 7:53 PM