PULAU KAPAS
PULAU KAPAS
BERNAMA

KERAJAAN negeri Terengganu memperuntukkan RM200,000 untuk membaiki dua set generator di Pulau Kapas, Marang yang dijangka dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah gangguan bekalan elektrik dalam tempoh empat minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Putih berkata, buat masa ini bekalan elektrik di pulau peranginan itu ditampung satu set generator.

"Ini penyelesaian jangka pendek untuk keselesaan pelancong serta pengusaha resort. Penyelesaian jangka panjang akan dilaksanakan dalam tempoh setahun lagi," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan ke Pulau Kapas, hari ini.

Menurutnya, keperluan bekalan elektrik di pulau itu ditampung tiga set generator, namun susulan peningkatan mendadak pelancong kebelakangan ini menyebabkan satu generator rosak manakala satu lagi tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh, mengakibatkan bekalan elektrik terputus pada malam Sabtu lalu.

Beberapa pengusaha resort dan chalet dilaporkan mendakwa mereka terpaksa membatalkan tempahan bilik penginapan dan memulangkan bayaran kepada pengunjung kerana masalah gangguan bekalan elektrik yang kritikal.

Ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur memperuntukkan RM4.9 juta untuk menaik taraf sistem solar sedia ada serta membeli set generator baharu yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan bulan hingga setahun lagi.

Untuk rekod, pada masa ini terdapat 19 pengusaha resort dan chalet beroperasi di Pulau Kapas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 8:07 PM