IBU Pejabat SPRM Putrajaya. FOTO arkib NSTP
IBU Pejabat SPRM Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Goh Pei Pei


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kegagalan syarikat membekalkan diesel bagi keperluan jana kuasa di sekolah pedalaman dan luar bandar di Sarawak.

Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut.

Beliau berkata, laporan diterima itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Ya, SPRM Sarawak sudah menerima laporan berhubung perkara itu baru-baru ini dan sudah dirujuk kepada ibu pejabat untuk tindakan lanjut.

“Butiran tidak dapat didedahkan kerana siasatan dikendalikan ibu pejabat (SPRM Putrajaya),” katanya.

Semalam, tular di laman sosial salinan surat syarikat subkontraktor pembekal minyak mengenai pemberhentian bekalan diesel dan penyelenggaraan set jana kuasa di Kapit, Song dan Belaga di Sarawak, bermula esok.

Berdasarkan surat berkenaan, tindakan itu terpaksa dibuat selepas kontraktor utama dilantik Kementerian Pendidikan gagal membuat pembayaran sejak Mac sehingga kini kepada syarikat pembekal perkhidmatan.

Ia turut menyatakan syarikat subkontraktor berkenaan terpaksa menanggung perbelanjaan bekalan yang tinggi untuk tempoh berkenaan.

Ini menyebabkan sekolah di pedalaman Kapit, Belaga dan Song dijangka tidak mendapatkan bekalan elektrik yang dijana menggunakan generator.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri e-DOK 2018, hari ini menyatakan beliau tidak dimaklumkan mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, beliau akan meneliti isu berkenaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan guru dan murid sekolah pedalaman terbaik.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, malah tidak dibincangkan pada pertemuan tadi (bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 5:07 PM