Augustine Tuuga.
Augustine Tuuga.
Juwan Riduan


JABATAN Hidupan Liar (JHL) Sabah akan mengambil tindakan menambah baik pagar perimeter di sekeliling kandang haiwan di Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, di sini, bagi mengelak kejadian harimau dahan terlepas berulang.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata, pengurusan taman terbabit merancang menambah dawai besi termasuk membina pagar perimeter di sekeliling kandang berkenaan.

Katanya, harimau dahan berkenaan yang dipanggil Tumba akan dimasukkan semula ke kandang itu minggu hadapan selepas penilaian keselamatan kandang selesai dibuat.

"JHL Sabah ingin memaklumkan bahawa keadaan kini selamat dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi semalam, seekor harimau dahan atau Sunda Clouded Leopard jantan dilaporkan terlepas sebelum ditemui semula pada jam 8.45 malam.

Haiwan karnivor itu berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali selepas dikesan di sekitar taman berkenaan

Augustine berkata, Tumba kini dilaporkan dalam keadaan baik di bawah jagaan doktor veterinar dan akan ditempatkan di Klinik Taman Hidupan Liar Lok Kawi sehingga kandangnya dibaiki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 5:03 PM