DATUK Seri Dr Adham baba berucap ketika perasmian Pelancaran V+IFiTer (I Fit & Eat Right) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Adham baba berucap ketika perasmian Pelancaran V+IFiTer (I Fit & Eat Right) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukan majoriti atau 94.9 peratus orang dewasa di negara ini tidak mengambil jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan iaitu lima hidangan setiap hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata data itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 94 peratus pada 2015.

Justeru, beliau menasihatkan supaya rakyat Malaysia dapat mengekalkan amalan cara hidup sihat supaya dapat mencegah daripada menghidap pelbagai penyakit termasuk diabetes, hipertensi, kardiovaskular serta kanser.

"Seruan ini berkait rapat juga dengan komitmen kerajaan menyediakan peruntukan banyak untuk merawat mereka yang sakit.

"Tentunya kita tidak mahu ramai rakyat Malaysia yang sakit. Penyakit diakibatkan oleh amalan hidup yang tidak sihat sebenarnya boleh dicegah. Langkah pencegahan seharusnya dilakukan pada peringkat awal," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Intervensi Pengurusan Berat Badan atau dikenali sebagai "I Fit and Eat Right secara virtual (V+IFitEr)," Peringkat Kebangsaan 2020 di Putrajaya.

Program itu adalah perkongsian pintar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Pencegahan Obesiti Kanak-kanak dan Dewasa.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, kadar prevalens rakyat Malaysia yang mengalami berlebihan berat badan dan obesiti turut menunjukan peningkatan iaitu 50.1 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2015 iaitu 47.7 peratus.

"Secara keseluruhan satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami berlebihan berat badan dan obesiti manakala golongan dewasa yang mempunyai obesiti abdomen juga menunjukkan trend peningkatan dari 48.6 peratus pada 2015 kepada 52.6 peratus pada 2019.

"Selain itu, 29.8 peratus anak-anak kita antara umur lima hingga 17 tahun adalah berlebihan berat badan dan obes.

"Penyumbang utama berlebihan berat badan dan obesiti ini ialah amalan cara hidup yang tidak sihat iaitu cara hidup sedentari dan tidak aktif secara fizikal serta pengambilan makanan yang tidak sihat dan tidak seimbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:42 PM