GAMBAR tular di media sosial mendakwa terdapat kes jangkitan Covid-19 di Hospital Selayang.
GAMBAR tular di media sosial mendakwa terdapat kes jangkitan Covid-19 di Hospital Selayang.
Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan penutupan sebahagian Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Zon Merah Hospital Selayang seperti tular kononnya terdapat kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dakwaan yang menimbulkan keresahan itu adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang berlaku setakat ini kes disyaki dan tindakan pencegahan dijalankan, tetapi terbukti negatif Covid-19.

"(Jabatan itu) tidak ditutup. Ia adalah tindakan berwaspada jika disyaki kes Covid-19 supaya orang ramai tidak terdedah kepada kes berkenaan.

"Bagaimanapun, ujian Covid-19 yang dilaksanakan adalah negatif," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Susulan berita dan gambar tular itu juga, Hospital Selayang turut mengeluarkan satu kenyataan media menafikan perkara berkenaan.

Pengarahnya Dr Sakinah Alwi berkata, tiada sebarang wabak Covid-19 yang direkodkan di Hospital Selayang sehingga hari ini.

"Hospital Selayang sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan wabak Covid-19 kerana ianya boleh menggugat ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan dihantar kepada pihak media.

Menurutnya, sebarang pertanyaan atau keraguan, pesakit dan keluarga boleh mendapatkan penjelasan melalui saluran bersesuaian.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk Facebook dakwaan meminta orang ramai supaya berhati-hati kerana ada kes positif Covid-19 di Hospital Selayang sehingga menyebabkan Jabatan Kecemasan dan Trauma serta zon merah hospital itu ditutup.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:11 PM