Bangunan Hospital Selayang. FOTO NSTP
Bangunan Hospital Selayang. FOTO NSTP
Suraya Roslan


SEMUA wad Jabatan Paediatrik Hospital Selayang ditutup sementara waktu selepas dua kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Hospital Selayang Dr Sakinah Alwi dalam satu kenyataan yang tular berkata, pihaknya tidak akan menerima sebarang rujukan atau kemasukan pesakit baru ke semua wad Paediatrik.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kakitangan Jabatan Paediatrik Hospital Selayang disahkan positif Covid-19 dan siasatan lanjut masih berjalan.

“Kami tidak akan menerima sebarang rujukan atau kemasukan pesakit baru ke semua wad dan pesakit sedia ada tidak dibenarkan pulang sehingga siasatan lanjut dari pihak kami selesai,” katanya dalam surat bertarikh 20 Mac itu.

Dr Sakinah berkata, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang juga diminta ‘triaging away’ semua kes paediatrik ke hospital lain.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seramai 12 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan positif wabak itu di mana seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setakat semalam Malaysia mencatatkan 1,030 kes dengan jumlah kematian tiga orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 10:27 AM