BERNAMA

Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penjawat awam memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat dan perkara itu harus menjadi keutamaan nombor satu dalam waktu yang sukar ini ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Justeru, perdana menteri berkata, proses penyampaian bantuan kepada rakyat perlu dipercepatkan yang memerlukan komitmen dan kerjasama daripada perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan prihatin.

"Mereka (rakyat) tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap. Begitu juga permohonan-permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur.

"Permudahkan proses untuk mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan masing-masing," katanya dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di sini, hari ini.

Majlis amanat bersempena genap setahun Muhyiddin menerajui kerajaan Malaysia itu berlangsung secara hibrid yang membabitkan kehadiran secara fizikal barisan menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta diadakan secara maya.

Menyifatkan seperti aur dengan tebing, Muhyiddin berkata, kerajaan dan penjawat awam tidak mungkin dapat dipisahkan, dan hubungan erat itu membolehkan negara mencapai kejayaan demi kejayaan walaupun berdepan pelbagai rintangan.

Perdana menteri turut mengingatkan pemimpin kerajaan sama ada ahli politik mahu pun penjawat awam, supaya melindungi rakyat dan melayan mereka dengan saksama dan secara adil.

"Begitu juga pihak GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan badan-badan berkanun laksanakan program tanggungjawab sosial korporat untuk membantu masyarakat yang susah. Kini masanya bagi kita memberi kembali kepada masyarakat.

"Saya terima banyak permohonan daripada peniaga-peniaga yang memohon dikecualikan bayaran sewaan premis GLC yang mereka duduki untuk berniaga. Pertimbangkanlah permohonan-permohonan ini sebaik-baiknya," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut berterima kasih kepada sokongan petugas barisan hadapan, penjawat awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan masyarakat yang membolehkan langkah diambil kerajaan membuahkan hasil positif termasuk melandaikan lekuk jangkitan gelombang pertama, membendung gelombang kedua dan kes-kes harian dalam gelombang ketiga Covid-19 ketika ini menunjukkan trend penurunan.

Selain itu, katanya, sistem kesihatan di negara ini juga bukan sahaja terus mampu bertahan, malah semakin efektif dalam merawat pesakit Covid-19 dengan kadar kematian akibat pandemik itu di Malaysia antara terendah di dunia, di bawah 0.4 peratus dan lebih 90 peratus daripada mereka yang dijangkiti telah pulih sepenuhnya.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga telah bersiap sedia untuk memastikan sekurang-kurangnya 126,000 orang diberikan suntikan vaksin Covid-19 setiap hari di 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara bagi memastikan sasaran 80 peratus penduduk atau 26 juta orang menerima suntikan itu secara percuma.

"Insya-Allah, dengan langkah kawalan pergerakan yang masih berkuat kuasa, pematuhan kepada SOP secara berterusan dan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sudah pun dimulakan, kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negara kita dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 1:56 PM