Zafrul Abdul Aziz.
Zafrul Abdul Aziz.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuatkuasa sejak 1 April lalu dianggarkan berjumlah RM81.9 bilion setakat 28 Ogos, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, daripada nilai itu sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan peminjam individu bernilai RM53.3 bilion.

"Sebanyak 732,000 peminjam yang mengambil moratorium secara automatik sudah kembali meneruskan bayaran ansuran bulanan pinjaman berbanding dengan 336,000 peminjam pada April 2020," katanya dalam laporan LAKSANA ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 28 Ogos, pihak bank sudah menghubungi lebih 2 juta peminjam yang merangkumi individu, perusahaan kecil sederhana (PKS) dan syarikat lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan.

Menurutnya, menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September ini, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober.

Inisiatif itu, katanya, bertujuan menjamin perniagaan dan isi rumah yang benar-benar memerlukan akan dapat terus dibantu melalui akses kepada pembiayaan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, memandangkan penemuan dan pembuatan vaksin Covid-19 secara komersial akan mengambil masa, sistem perbankan negara perlu terus kekal utuh dan kukuh untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 3:17 PM