KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau penduduk setempat yang melakukan proses saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang. FOTO arkib NSTP
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau penduduk setempat yang melakukan proses saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang. FOTO arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perlis menjalani ujian saringan Covid-19, pagi tadi, berikutan kawasan seliaan mereka bersempadanan dengan Kuala Sanglang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Adun berkenaan ialah Adun Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob, Mohd Shukri Ramli (Sanglang) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Nurulhisham ketika dihubungi berkata, mereka menjalani ujian saringan terbabit pada 9 pagi tadi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) berikutan kawasan seliaan mereka terletak berhampiran dengan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

"Proses saringan yang kami jalani pagi tadi lebih kepada prosedur wajib berikutan kawasan kami bersempadanan dengan kawasan pelaksanaan Temco selain kami juga Adun yang kerap bertemu dengan orang awam.

"Malah memandangkan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan bersidang mulai esok hingga lusa, jadi semestinya kami menjalani proses saringan seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini," katanya.

Adun Sanglang, Mohd Shukri berkata, meskipun kawasan pelaksanaan Temco tidak terletak berhampiran dengan kediamannya, namun dia tetap mematuhi perintah yang dikenakan ke atas dirinya.

"Memang jauh dari rumah saya (Kuala Sanglang), tapi kawasan pelaksanaan Temco itu terletak dalam kawasan seliaan saya, jadi kami hadir buat saringan.

"Insya-Allah mudah-mudahan segalanya kembali seperti sedia kala dan patuhi perintah pihak keselamatan dari semasa ke semasa," katanya.

Kelmarin, dua penempatan di Kuala Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan Temco sehingga 4 September depan selepas penularan Covid-19 dari Kluster Sivagangga mula merebak di kawasan berkenaan.

Kira-kira 872 penduduk diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 dan menjalani perintah kuarantin dengan hanya ketua keluarga atau pemakai gelang khas saja yang dibenarkan keluar ke kedai bagi membeli barangan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 12:56 PM