ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya di Daerah Sanglang, malam tadi. FOTO Bernama
ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya di Daerah Sanglang, malam tadi. FOTO Bernama
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS membuka tiga sekatan jalan raya (SJR) bagi laluan yang menghala ke Kuala Sanglang yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, tiga SJR terbabit adalah membabitkan jalan utama termasuk jalan yang menghubungkan Perlis dengan Kedah di Kuala Sanglang.

Antara jalan yang terbabit adalah, Jalan Simpang Empat menghala ke Kuala Sanglang di simpang tiga Jalan Padang Keria, Jalan Kuala Perlis menghala ke Kuala Sanglang di pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang.

Selain itu, SJR turut dibuka Jalan Kuala Sanglang, Kedah ke Pekan Kuala Sanglang berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun.

"Setiap SJR ini akan ditempatkan empat syif anggota barisan hadapan bagi mengawal keluar masuk orang awam ke kawasan yang dilaksanakan TEMCO.

"Seramai 20 anggota keselamatan akan ditempatkan dan kita harap penduduk dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota barisan hadapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas berhubung penambahan SJR, Wari berkata ia hanya akan dilakukan mengikut situasi dan keadaan dari semasa ke semasa.

"Setakat ini hanya tiga sahaja dahulu, sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Semalam, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) diisytiharkan bagi Kuala Sanglang di mukim Sanglang bermula malam ini hingga 9 September hadapan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor pertambahan kes Covid-19 yang membabitkan dua kampung di kawasan berkenaan iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang.

Berita berkaitan:

  • Jumlah sekolah ditutup mungkin bertambah
  • Kuala Sanglang dikenakan Temco
  • Dua sekolah di Sanglang diberi cuti khas seminggu
  • Tiga laluan masuk ke Perlis dikawal: Polis
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 11:26 AM