PENGUAT kuasa KPDNHEP Timur Laut memeriksa premis berlesen yang gagal menyelenggara buku stok LPG. FOTO Ihsan KPDNHEP.
PENGUAT kuasa KPDNHEP Timur Laut memeriksa premis berlesen yang gagal menyelenggara buku stok LPG. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Zuhainy Zulkiffli


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan ke atas sebuah premis di Tanjung Bungah kerana gagal menyelenggara buku stok barangan kawalan iaitu gas cecair petroleum (LPG).

Ketua Pegawai KPDNHEP Daerah Timur Laut Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, premis itu dikesan dalam operasi penguatkuasaan dilakukan semalam.

"Sebagai peniaga menjual barangan kawalan, menjadi kewajipan mereka bagi menyelenggara buku stok barang kawalan dengan sempurna dan kegagalan melakukannya boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 13 (2) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya, hari ini.

Menurut peraturan itu, perniagaan milikan tunggal boleh didenda tidak melebihi RM1juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, manakala bagi perbadanan atau syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Dalam pada itu, Ahrazzudin berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah restoran di Jalan Dato Keramat, Georgetown kerana mempamerkan tanda harga mengelirukan.

"Pemeriksaan mendapati tanda harga yang dipamerkan berbeza dengan bayaran dikenakan kepada pelanggan. Peniaga kena ada tanggungjawab pastikan tanda harga tepat dan sentiasa dikemaskini. Jangan ambil kesempatan atas pelanggan," katanya.

Menurutnya, pemilik restoran dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk rekod, KPDNHEP Timur Laut sudah menjalankan 1,480 pemeriksaan dan menyiasat 69 kes dalam tempoh Jun dan Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 3:17 PM