SUSPEK yang dicari polis. FOTO Juwan Riduan.
SUSPEK yang dicari polis. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


POLIS sedang memburu empat individu yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kesalahan menipu termasuk jual tanah dan projek penyelenggaraan tanah di Sabah.

Semua empat individu itu adalah warga tempatan membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 41 hingga 46 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, suspek pertama, Adward Saatah beralamat di Kampung Malagatan Tongod dan Taman Sibuga, Sandakan.

Katanya, suspek dikehendaki bersabit kesalahan penipuan penjualan tanah dan projek penyelenggaraan jalan yang tidak wujud membabitkan nilai RM150,000 bagi kedua-dua kes.

"Kes kedua pula membabitkan seorang lelaki bernama Henry Chin Fu Sook yang beralamat terakhir di Taman Wijaya, Manggatal.

"Suspek dikehendaki bersabit kesalahan pecah amanah atas wang hasil jualan runcit milik sebuah syarikat bernilai RM24,272.40," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kota Kinabalu, semalam.

Zaini berkata, kes ketiga pula membabitkan seorang lelaki bernama Wong Tze Yuen yang didakwa melakukan pecah amanah sebanyak RM371,315.08 di sebuah syarikat pengedaran dan pemasaran rokok di Penampang.

"Suspek kedua dan ketiga ini disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah pekerja.

"Sementara, suspek terakhir yang diburu adalah seorang wanita bernama Hasmah Tarudin yang beralamat di Taman Putatan Baru, Putatan.

"Suspek didakwa melakukan kesalahan penipuan membabitkan permohonan lanjutan pasport yang tidak wujud," katanya.

Zaini berkata, suspek dikatakan menipu sebanyak RM2,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menyalurkannya kepada IPD Penampang di talian 088-712222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 3:38 PM