Suraya Roslan


KERAJAAN kerajaan memutuskan untuk mengecualikan bayaran kuarantin bagi penuntut yang pulang dari Yaman dan tidak berkemampuan untuk membayar kos berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka sebaliknya dihantar menjalani kuarantin di Institut Latihan Awam (ILA) terpilih.

"Sekiranya penuntut itu ditaja oleh agensi kerajaan, badan penaja akan menanggung kos kuarantin.

"Bagi penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah, kelompok B40 yang pulang dari luar negara, mereka boleh memohon pengecualian dan proses pengesahan akan dilakukan melalui data sedia ada, Bantuan Sara Hidup," katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berikutan Covid-19, hari ini.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan kerja -kerja sanitasi bagasi penumpang yang pulang dari luar negara di KLIA sebelum dibawa ke pusat kuarantin. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan kerja -kerja sanitasi bagasi penumpang yang pulang dari luar negara di KLIA sebelum dibawa ke pusat kuarantin. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai penuntut pulang dari luar negara terpaksa menunggu lama dan berlegar di lobi hotel kerana tiada wang untuk membayar deposit.

Untuk itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membuat ketetapan untuk mengambil butiran penuh penuntut yang pulang ke tanah air termasuk pendapatan keluarga untuk diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Kementerian Luar akan mengambil butiran penuh penuntut yang pulang ke tanah air dan Nadma akan menyediakan pusat kuarantin untuk mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, kita tidak mahu lagi timbul isu mengenai kos kuarantin ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 3:46 PM