NOOR Kamarul Anuar (kanan) dan Moharmustaqeem pada acara #khabarbaik di Pusat Konvensyen TM, semalam.
NOOR Kamarul Anuar (kanan) dan Moharmustaqeem pada acara #khabarbaik di Pusat Konvensyen TM, semalam.
Nabil Basaruddin


TELEKOM Malaysia Bhd (TM) sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia komited untuk menyediakan akses keterhubungan jalur lebar menyeluruh di Malaysia menjelang 2021.

Komitmen itu antara lain akan dilaksanakan menerusi pelbagai teknologi yang bersesuaian termasuk fiber, tanpa wayar dan GigaWire yang akan membabitkan peralihan pelanggan secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, usaha itu juga adalah selari dengan sasaran kerajaan melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Beliau berkata, TM juga sentiasa berada di hadapan dalam setiap evolusi teknologi telekomunikasi di negara ini serta mempunyai rekod yang terbukti dalam usaha pembinaan negara.

“Kami pada minggu lalu mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung rancangan akses keterhubungan yang lebih baik.

“Usaha ini adalah untuk menyediakan rangkaian serta liputan Internet kepada seluruh kawasan yang dikenal pasti di mana ia dijangka dapat diselesaikan pada 2021,” katanya pada acara #khabarbaik di sini, semalam.

Sementara itu, TM turut memperkenalkan unifi Air, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar dalam mempertingkatkan pengalaman Internet pelanggan Streamyx sedia ada di kawasan liputan LTE.

Pelanggan Streamyx sedia ada yang menantikan akses Internet lebih pantas pula akan beralih ke unifi Lite bermula September depan.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, unifi Air adalah naik taraf bagi perkhidmatan sedia ada dan ditawarkan dari serendah RM79 sebulan untuk mempertingkatkan capaian Internet pelanggan.

“Kami juga akan memindahkan pelanggan Streamyx sedia ada yang berada di luar kawasan liputan fiber unifi dan LTE kepada pelan terbaharu unifi Lite pada harga lebih rendah iaitu RM69 sebulan terlebih dahulu.

“Ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka untuk menikmati manfaat sebagai sebahagian daripada keluarga unifi sementara menunggu pelan perluasan rangkaian dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 12:55 PM