Zaid Salim


BURUH didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan pemindahan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Roslan Said, 32, dari Kampung Darat Batu Rakit, Kuala Nerus selepas membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan empat lembu dari Kampung Mengabang Panjang ke arah Kampung Pecah Rotan menggunakan lori jenis Isuzu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kandang lembu Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, Kuala Nerus pada 10.25 pagi, 8 Mac lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Para (i) (b) Perintah di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Terengganu).

Ia boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) dan sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM15,000.

Prosiding dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam penghakimannya, Noradila berkata, tertuduh dikenakan hukuman denda RM2,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh menjelaskan bayaran denda yang dikenakan dan hasil jualan ternakan sebanyak RM2,000 dilucuthak.

ROSLAN (kiri) didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori
ROSLAN (kiri) didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 11:35 AM