GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Maiamalina Mohamed Amin


IBU bapa mahupun penjaga remaja bawah 18 tahun akan dihukum sekiranya anak mereka didapati bersalah menunggang basikal lajak hingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Hukuman berbentuk denda dan penjara itu termasuk dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan ke atas Seksyen 54 menetapkan hukuman denda dinaikkan kepada RM1,000 hingga RM5,000 dan memasukkan hukuman penjara sehingga setahun.

"Dulu denda RM300 sahaja, orang tak takut, sekarang kita pinda dan perketatkan sebagai pengajaran kepada semua pihak termasuk penunggang basikal lajak ini yang tergolong sebagai pengguna kenderaan mikromobiliti bersama basikal elektrik.

"Jika pesalahnya di bawah usia 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum," katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Parlimen.

Dr Wee berkata, hukuman ke atas ibu bapa atau penjaga kerana mereka sepatutnya menjaga tingkah laku anak masing-masing, bukannya membiarkan terbabit kegiatan berisiko.

Katanya, kerajaan juga serius memastikan jalan raya selamat buat rakyat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kegiatan yang boleh membawa kepada kecelakaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:54 PM