AL-SULTAN Abdullah bersama Mahmoud ketika lawatan Duta Besar Arab Saudi itu. FOTO FB ISTANA NEGARA
AL-SULTAN Abdullah bersama Mahmoud ketika lawatan Duta Besar Arab Saudi itu. FOTO FB ISTANA NEGARA
Suraya Roslan


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima kunjungan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari ini.

Facebook (FB) Istana Negara memuat naik beberapa gambar Al-Sultan Abdullah bersama Mahmoud selain baginda menzahirkan harapan dan mendoakan supaya Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dikurniakan kesembuhan dengan segera.

Baginda turut mengimbas kembali kenangan manis pertemuan dan perbincangan bersama Raja Salman ketika lawatannya ke Arab Saudi pada 12 hingga 14 Julai lalu.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Raja Salman dan kerajaan Arab Saudi atas kemurahan hati menyumbang peralatan perubatan kepada Malaysia.

Sumbangan itu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 di negara ini.

Kerajaan Arab Saudi menjadi penyumbang peralatan perubatan terbesar kepada Malaysia selain baginda menzahirkan penghargaan dengan kerjasama yang dihulurkan negara itu dalam membantu membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air.

Sehingga kini, seramai 1,222 rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air dari Arab Saudi menerusi 10 penerbangan khas.

Baginda menzahirkan perasaan sukacitanya terhadap hubungan akar umbi antara Malaysia dan Arab Saudi yang terjalin dengan erat dan istimewa dalam pelbagai aspek.

Melalui catatan di FB itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya Malaysia dan Arab Saudi mengambil langkah konkrit untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta perpaduan ummah.

Mahmoud menyatakan Malaysia adalah sebuah negara model yang perlu dicontohi negara Islam daripada aspek pembangunan.

Oleh sebab itu Malaysia dipilih kerajaan Arab Saudi sebagai negara perintis inisiatif Makkah Route atau sistem pra-pelepasan E-Haji sejak 2017.

Sebagai maklum balas, baginda menzahirkan harapan supaya sistem itu diteruskan setiap musim haji.

Pada 2019, jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi bernilai RM22.31 bilion (USD5.39 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding 2018.

Kerajaan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar dan pasaran eksport kedua terbesar bagi Malaysia antara negara Asia Barat selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:00 PM