Pusat jagaan warga emas di Taman Bahagia di Kluang yang dikuarantin selepas 11 daripada 19 penghuninya disahkan positif wabak Covid-19, semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Pusat jagaan warga emas di Taman Bahagia di Kluang yang dikuarantin selepas 11 daripada 19 penghuninya disahkan positif wabak Covid-19, semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


KLUSTER baharu Covid-19 Pusat Jagaan Warga Emas Taman Bahagia, Kluang mungkin berpunca daripada lawatan ahli keluarga penghuni.

Pengurusnya, George Wu berkata, penularan hanya dikesan selepas salah seorang penghuni meninggal dunia dan disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Katanya, selepas pemeriksaan lanjut oleh pihak berkenaan, pihaknya terkejut apabila 11 daripada 19 yang tinggal di pusat jagaan itu tidak termasuk seorang anaknya yang berusia empat tahun dan seorang pekerja berumur 40-an positif wabak berkenaan.

"Semua yang positif sudah dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan selanjutnya selepas disahkan positif semalam.

"Lapan warga emas berusia 60 hingga 70 tahun, tiga pekerja berumur antara 25 hingga 30 tahun serta saya sendiri kini dikuarantin di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, George berkata pusat jagaan warga emas itu sudah beroperasi selama 11 tahun dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Kluang, P Thanaselan berkata, pusat jagaan berkenaan adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan pihaknya.

Katanya, JKM membantu menyediakan makanan dengan cara membelikan melalui sumber kewangan dari pusat berkenaan kerana mempunyai tukang masak sendiri untuk menyediakan makanan berdasarkan diet penghuni.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 5:53 PM