Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


SEBANYAK 169,728 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, 114,693 adalah penerbangan domestik dari Penerbangan Malaysia Berhad (MAB); AirAsia Berhad dan Malindo Air, manakala 55,035 lagi membabitkan penerbangan antarabangsa.

"Mengikut pecahan, MAB membatalkan 45,680 penerbangan antarabangsa dan domestik; AirAsia (106,943) dan Malindo Air sebanyak 17,105 penerbangan.

"Jumlah penumpang yang terjejas juga agak besar iaitu 4.316 juta membabitkan 1.4 juta penumpang MAB; 2.861 penumpang AirAsia dan 540,000 penumpang Malindo Air," katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur , hari ini.

Terdahulu Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) ingin mengetahui berapa banyak penerbanganan yang dibatalkan sejak Covid-19 dan jumlah penumpang yang terkesan serta jumlah bayaran balik kepada penumpang.

Berhubung bayaran balik , Wee berkata, terdapat tiga kategori penumpang yang boleh menikmati kemudahan itu.

Katanya, kategori pertama adalah penumpang yang dibenarkan menunda tiket penerbangan ke satu tarikh lain yang membabitkan 1.211 juta penumpang iaitu 1.172 juta dari MAB dan 38,558 dari AirAsia.

"Kategori kedua penumpang dibenarkan membuat bayaran balik dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan ke destinasi sama atau lain dalam tempoh dua tahun.

"Sebanyak 1.967 juta penumpang terbabit iaitu 37,188 dari MAB; AirAsia (1.875) dan Malindo Air (54,773)," katanya.

Wee berkata, kategori ketiga adalah penumpang yang diberi bayaran balik sepenuhnya kos tiket penerbangan termasuk fi dan caj berkaitan, yang membabitkan 62,870 penumpang dengan kos RM400 juta.

Katanya, 190,444 penumpang adalah dari MAB membabitkan kos RM295 juta, manakala AirAsia sebanyak 437,000 penumpang membabitkan kos sebanyak RM105 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian RM10.9 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2020, manakala operator lapangan terbang pula dijangka mengalami kerugian RM2.1 bilion bagi tempoh sama.

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mei lalu. FOTO Bernama
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mei lalu. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 1:28 PM