DATUK Seri Ismail Abd Muttalib (kiri) memeriksa perbarisan kehormat ketika hadir Lawatan Kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya. FOTO Sharul Hafiz Zam
DATUK Seri Ismail Abd Muttalib (kiri) memeriksa perbarisan kehormat ketika hadir Lawatan Kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyerahkan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk mengemukakan saman sivil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, pihaknya bagaimanapun akan melihat semula tindakan yang dibuat ahli keluarga ahli bomba itu.

"Saya tidak mahu mengulas panjang dan kita serahkan perkara itu kepada pihak atasan dan mahkamah.

"Berkenaan perkara ini (mengemukakan saman sivil), saya kena lihat dahulu, itu adalah hak dia (keluarga Adib) tetapi kita menyerahkannya kepada undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Ismail berkata, keluarga Allahyarham Muhammad Adib setakat ini tidak berjumpa dengan pihak kementerian berhubung perkara itu.

"Setakat ini keluarga tidak berjumpa dengan saya, cuma yang penting dia (keluarga) dan rakyat inginkan keadilan pada Adib.

"Kita tidak tahu sebenarnya punca kematian, sebab itulah kita perlukan keadilan rakyat, bukan sahaja (untuk) kes Adib, malah kes yang lain," katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan PDRM akan menunggu saman yang dikemukakan keluarga Allahyarham Muhammad Adib bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dipetik berkata, pihaknya menunggu saman berkenaan untuk mengkaji tindakan lanjut.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 8:19 PM