Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Luar mengenal pasti 10,484 rakyat Malaysia yang terkandas serta berpotensi untuk terkandas di luar negara, terutama penuntut tahun akhir.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penuntut ini akan menghabiskan pengajian selepas selesai peperiksaan akhir dan perlu pulang ke tanah air memandangkan kontrak rumah sewa yang akan tamat pada tarikh ditetapkan.

Katanya, begitu juga dengan rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan, mungkin dihentikan atau sudah dibuang kerja.

"Ini yang berlaku di Oman, sebahagian mereka sudah dibuang kerja. Kebanyakan mereka bekerja sebagai juruterbang, kru pesawat dan sebagainya.

"Begitu juga penuntut kita di Mesir, Jordan dan beberapa negara lain yang akan menamatkan pengajian dan perlu pulang ke tanah air," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, terdapat beberapa kekangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia terutama peraturan negara itu yang larangan pesawat asing untuk mendarat di negara mereka.

Menurutnya, usaha membawa pulang mereka tidak semudah difikirkan kerana kerajaan negara berkenaan masih menutup pintu negara masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan amat prihatin terhadap nasib rakyat yang terkandas kerana sesetengah negara adalah berisiko tinggi, malah ada beberapa negara diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara sangat kritikal dari segi kesihatan.

"Sehubungan itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini turut meminta Kementerian Luar untuk mengemukakan perancangan serta kos bagi proses repratriasi rakyat Malaysia.

"Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk mencadangkan supaya Tabung Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diperluaskan untuk membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.

"Dulu tumpuan kita dalam negara, sekarang kita mencadangkan supaya Tabung Covid-19 diperluaskan untuk membantu mereka terutama di negara yang dianggap kritikal dan berisiko tinggi," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Justeru, Ismail Sabri menyeru orang ramai terus menyalurkan sumbangan kepada tabung berkenaan supaya kumpulan ini dapat dibawa pulang.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga mengambil maklum bahawa dianggarkan 457,000 rakyat Malaysia berada di luar negara dan daripada jumlah itu seramai 387,702 individu berdaftar dengan perwakilan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, rundingan dengan kerajaan Singapura mengenai pembukaan sempadan kedua-dua negara masih diteruskan ia dijalankan mengikut beberapa kategori.

"Yang pertamanya membabitkan komuniti perniagaan yang mempunyai perniagaan di Malaysia untuk masuk dan keduanya sama juga dari Malaysia yang mempunyai rakan niaga di Singapura.

"Kedua, yang bekerja dan tinggal di Singapura melebihi tiga bulan, kalau mereka balik apakah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, dan yang paling penting ialah 250,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

"Mesyuarat berpandangan kalau ingin diselesaikan ia perlu dilakukan secara menyeluruh, SOP yang ketat dilonggarkan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini kedua-dua negara bersetuju untuk melonggarkan SOP kepada mereka yang membawa barangan harian ke Singapura yang tidak perlu menjalani ujian swab.

"Kalau dulu dengan lori yang membawa sayuran, makanan tidak dikenakan ujian swab, kenapa sekarang perlu ujian. Perbincangan sedang berjalan oleh Kementerian Luar dengan rakan di Singapura dan kita harap ia dapat diselesaikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 4:29 PM